Lagi Kes Buli Di Tahfiz..Lari Tahfiz Kerana Tak Tahan Dibuli Sehingga PECAH tisu pinggang sebelah kiri, koyak tisu kaki kanan dan lebam

Lagi Kes Buli Di Tahfiz..Lari Tahfiz Kerana Tak Tahan Dibuli Sehingga PECAH tisu pinggang sebelah kiri, koyak tisu kaki kanan dan lebam

PECAH tisu pinggang sebelah kiri, koyak tisu kaki kanan dan lebam di beberapa bahagian badan akibat diterajang dan tumbuk dua senior.

Itu kesan dalaman dan kesakitan dialami seorang pelajar pusat tahfiz di Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam, Bukit Beruntung akibat perbuatan buli senior sejak lebih dua bulan belajar di pusat pengajian agama itu.

Detik menakutkan itu dialami Syed Khairun Hazim Syed Husain, 13, hampir setiap hari hanya kerana permintaan senior tidak dituruti.

Hazim berkata, dua senior lelaki berusia 14 tahun itu akan menyepak dan menumbuknya hanya kerana tidak menuruti arahan mengambil air minuman dan jubah.

“Dia suruh saya ambil air, tapi bila tak ikut cakap dia akan sepak saya dan tumbuk di perut.

“Begitulah saya diperlakukan hampir setiap hari sejak hari ke-41 berada di tahfiz itu.

“Mereka ugut saya kalau beritahu ustaz saya akan kena lebih teruk lagi, jadi saya terpaksa tutup mulut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kasturi, Bukit Beruntung, hari ini.

Bagaimanapun, tidak tahan dengan perbuatan itu, Hazim nekad melarikan diri daripada pusat tahfiz bersama seorang rakannya 4.30 pagi semalam.

Menurut Hazim, dia dan rakannya, Wan Muhammad Arfan Wan Mohamad Hafiz, 13, telah merancang untuk lari seminggu sebelum itu.

Semalam, mereka berjaya keluar dan berjalan lebih lima kilometer untuk mendapatkan pertolongan orang kampung sebelum ditumpangkan oleh seorang pemandu lori yang menghantar mereka pulang ke rumahnya.

Hazim berkata, Arfan turut menjadi mangsa buli senior lain, namun tidak seteruk dialaminya.

Bapa Hazim, Syed Husain Syed Abu Samah, 38, berkata, beliau menuntut keadilan terhadap nasib dialami anaknya dan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar senior yang didakwa melakukan perbuatan itu.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadap pelajar dan (kecuaian) pihak maahad tahfiz sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman terhadap anak sulung saya.

“Biar undang-undang yang tetapkan segalanya demi membela nasib anak saya dan rakannya serta berharap perkara seumpama ini tidak berlaku serta menimpa pelajar lain terutama di institusi tahfiz seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara pengadu dan pelajar senior terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro